Dalam tahun 1953 aku telah berjaya memasuki Sekolah Inggeris di Kuala Terengganu, iaitu Sultan Sulaiman
English School (SSES), satu-satunya sekolah Inggeris Kerajaan di Negeri
Terengganu (asalnya: Trengganu) ketika itu. SSES terletaknya di hujung
Jalan Cherong Lanjut arah ke Kampung Pengadang Akar di sebelah Selatan,
dibatasi Jalan Batas Baharu (sekarang Jalan Engku Sar) di sebelah utara.
Manakala bahagian hadapan dan jalan masuk utama ke perkarangan sekolah
(sebelah timur) ialah Jalan Gong Wan Abas (sekarang Jalan Sultan Omar).
Kini kawasan tersebut ditempatkan Sekolah Rendah Sultan Sulaiman 1 dan Sekolah Rendah Sultan Sulaiman 2.
Sebuah lagi sekolah Inggeris ialah The Grammar English School (or was
it The English Grammar School?), Kuala Terengganu, di Jalan Ayer Jerneh
(atau Jalan Cherong Lanjut?), sebelah jalan ke kompleks pejabat SUK
lama atas bukit. Sekolah tersebut adalah satu-satunya sekolah Inggeris
swasta pertama di Trengganu ketika itu, dan dimiliki oleh Mr P.C.Isaacs
(kemudiannya Dato’ P.C.Isaacs), seorang hartawan/dermawan bekas guru
keturunan India, yang kemudiannya diwarisi oleh anaknya.
Urusan kemasukanku ke SSES pada mulanya menghadapi beberapa
halangan. Pertama aku tidak mendapat biasiswa Persekutuan (RM45
sebulan), tetapi hanya diberi biasiswa Negeri sebanyak RM20.00 sebulan.
Keduanya aku tidak mendapat tempat di asrama sekolah; lalu terpaksa
menumpang di rumah Cikgu Ali ‘nazir’ (kemudiannya Haji Ali dan Dato’
Perwira Negara) di belakang bangunan SSES.
Secara rasminya SSES telah ditubuhkan pada tahun 1925; tetapi kelas
pertamanya telah dibuka sejak tahun 1920 lagi dengan “English” sebagai
bahasa pengantar. Nama awalnya ialah Government English School. Pada
tahun 1938 barulah namanya ditukar kepada Sultan Sulaiman English
School. Ketika aku mulai bersekolah di SSES, aku dapati keseluruhan
bangunannya adalah bangunan sementara yang dibina daripada struktur
kayu, bumbung atap nipah dan dinding kajang (daripada daun mengkuang);
dan digelar “sekolah atap” ketika itu. Keadaan demikian adalah
disebabkan bangunan sekolah asal telah terbakar dua tahun sebelum itu
(12 Julai 1951). Sekolah atap ini kekal digunakan sehingga sekitar
tahun 1957 apabila bangunan baru 3 tingkat mula dibina secara
berperingkat untuk menggantikan bangunan sementara tersebut.
Kemasukan murid ke SSES melalui dua cara. Cara pertama ialah
menerima murid-murid masuk ke Standard 1 ketika umur masuk 7 tahun, dan
cara kedua ialah menerima kemasukan murid-murid ke Special Malay Class
(SMC). SMC itu sebenarnya kelas peralihan murid-murid yang sudah tamat
Darjah 3 atau Darjah 4 di sekolah-sekolah Melayu seluruh negeri
Terengganu. Murid-murid dari sekolah-sekolah Melayu itu perlu melalu
satu ujian objektif dalam mata-mata pelajaran Ilmu Hisab, ujian
Pengetahuan Am dan ujian IQ (kecerdasan). Jika melepasi ujian tersebut
mereka akan diterima masuk ke SMC1 di SSES. Setelah belajar di SMC1 dan
SMC2 (selama 2 tahun) murid-murid tersebut akan dinaikan ke Standard 6,
bercampur dengan murid-murid lain yang naik ke Standar 6 melalui cara
kemasukan yang pertama (dari Standard 1). Kelas-kelas SMC ini
dikhususkan untuk murid-murid Melayu sahaja, manakala kemasukan ke
Standard 1 terbuka kepada semua kaum.
Guru-guru yang yang mengajar kelasku di sekolah atap tersebut (dari
SMC 1 hingga Std 6) ialah Mr. Abu Bakar (Mr. Baker), Mr. Yang Rashidi,
Mr. Lau Kong Beng dan Mr. Rahman (Mr. Ramon ‘Boat’, kemudiannya Dato’
Abdul Rahman Taib, TCS).
Sistem pendidikan di SSES berpandukan kepada acuan system pendidikan
dari peringkat rendah (primary level) bermula dari murid Standard 1
berumur 7 tahun hingga ke Standard 9. Murid-murid dinaikkan ke
peringkat (tahap) berikutnya melalui peperiksaan tahunan di akhir setiap
tahun. Hanya murid-murid yang mencapai tahap markah lulus dinaikkan ke
tahap berikutnya; yang tidak lulus akan dikekalkan di darjah yang sama
untuk setahun lagi. Manakala yang lulus cemerlang mungkin dinaikkan ke
tahap yang lebih tinggi melangkau satu darjah, biasa dari Standard 3
melangkau ke Standard 5 atau dari Standard 4 melangkau ke Standard 6.
Mana-mana murid yang gagal 2 tahun berturut-turut mungkin akan
ditamatkan pengajiannya setakat Standard di mana dia gagal. Jika
ibubapa ada wang mungkin akan dimasukkan ke sekolah swasta (GES) untuk meneruskan pengajiannya.
Peperiksaan akhir tahun di tahap Standard 7 akan dianjurkan oleh pihak Jabatan Pelajaran
bagi pihak Cambridge Examination Syndicate, England yang menyediakan
soalan-soalan peperiksaan dalam semua subjek bagi mendapat sijil
peperiksaan yang dipanggil Junior School Certificate (JSC). Jika lulus,
akan diberi peluang meneruskan pelajaran hingga ke Standard 9.
Peperiksaan akhir tahun ketika dalam Standard 9 ialah peperiksaan
Overseas Cambridge School Certificate (OCSC) yang, jika di England, sama
tarafnya dengan ‘O’ Level. Sijil-sijil ini mendapat pengiktirafan di
England dan di semua negara Komanwel dan negara-negara jajahan British ketika itu.
Subjek-subjek asas bagi JSC dan OCSC ketika itu ialah English
(termasuk Oral English), Mathematics, Science, Geography, History,
Literature, Drawing and Bahasa Melayu. Dengan JSC seseorang murid itu sudah berpeluang untuk masuk ke Maktab Perguruan atau memohon jawatan kerani dalam jabatan kerajaan; iaitu ketika berumur antara 15 hingga 16 tahun.
Dengan sijil OCSC Grade 1 atau 2 sudah memadai untuk seseorang itu
berpeluang memasuki matrikulasi untuk kursus-kursus professional di
universiti-universiti di Great Britain (England, Scotland, Ireland dan
Wales) dan di negara-negara seperti Canada, Australia dan New Zealand.
Sijil OCSC itu juga digunakan untuk kelayakan masuk ke Universiti Malaya
(di Singapura ketika itu).
Ujian
besar pertama di SSES ialah peperiksaan akhir tahun Std 6 (Standard
Six) yang dianjurkan serentak di seluruh Tanah Melayu oleh Jawatankuasa
Peperiksaan, Jabatan Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu ketika itu.
Kalau lulus peperiksaan ini akan dinaikkan ke Form 1 (Form One) sekolah
menengah yang mula diperkenalkan mulai 1956. Murid-murid yang gagal akan
diberhentikan sekolah, walaupun pada usia antara 13 dan 14 tahun.
Hanya
beberapa tahun kemudian pihak Kerajaan mengadakan Sekolah Menengah
Lanjutan untuk menampung murid-murid yang gagal naik ke Form 1
(Tingkatan 1) sekolah biasa Kerajaan. Sekolah Menengah Lanjutan inilah
kemudiannya diubahasuai menjadi Sekolah Menengah Vokasional. Pada
awalnya Sekolah Menengah Lanjutan ini hanya setakat Tingkatan 3 sahaja,
dan apabila tamat Tingkatan 3 murid-murid terpaksa menamatkan
persekolahan mereka setakat itu. Sijil Tingkatan 3 Sekolah Menengah
Lanjutan ini tiada nilai pengiktirafan yang jelas oleh pihak Kerajaan.
Mulai tahun 1956 juga SSES di pecahkan kepada Sultan Sulaiman Primary
School (SSPS) dan Sultan Sulaiman Secondary School (SSSS). Bangunan
SSSS yang baru siap dibina di Kuala Ibai, Kuala Terengganu telah mula
digunakan pada tahun 1956 dan ‘batch’ aku adalah ‘batch’ Form 1 pertama
yang berpindahkan ke bangunan baru tersebut. Beberapa orang murid yang
telah lulus cemerlang dalam peperiksaan Standar 6 tahun 1955 SSES telah
berjaya masuka ke sekolah-sekolah menengah berasrama penuh, iaitu The Malay College Kuala Kangsar (MCKK) dan The Malay Girls College (MGC, yang kemudiannya dinamakan Sekolah Tun Fatimah)
di Melaka. Setakat yang aku ingat, mereka ialah Fauziah Ismail dan
Kamariah Othman ke MGC, manakala Engku Mohd Anuar dan Wan Mahmud
Othman ke MCKK.

SSSS terletaknya di Kuala Ibai, lebih kurang empat batu dari Kuala Trengganu. Aku berulang alik ke sekolah dengan sebuah basikal tua
yang dipinjamkan oleh keluarga angkatku di Cherong Lanjut. Aku belajar
di SSSS selama 5 tahun, iaitu dari tahun 1956 hingga tahun 1960.
Aktiviti kokorikulum yang pernah aku sertai ialah Photography Club,
Gymnastic Club, Red Cross Society dan mewakili Rumah Gajah dalam Rugby.
Peperiksaan akhir tahun 1958 adalah peperiksaan Lower Certificate of
Education (LCE) yang menggantikan JSC, dan dihadapi setelah habis
belajar dalam Form 3. Sekali lagi murid-murid yang lulus sahaja dapat
naik ke Form 4; yang gagal terpaksa berhenti sekolah dan yang cemerlang
ke Form 4 di sekolah-sekolah berasrama penuh. Pada ketika itu hanya ada
beberapa sekolah berasrama penuh Kerajaan, iatu Sekolah Datuk Abdul Razak
(SDAR) Seremban (ditubuhkan di Johor Bahru pada 1956), Sekolah Tuanku
Abdul Rahman (STAR) Ipoh (ditubuhkan pada awal 1957), dan Sekolah Tengku
Kursiah Seremban. Selain itu murid lelaki juga diterima masuk ke “Boys
Wing (Company)”, Royal Military College (RMC) Port Dickson (bermula
tahun 1952), Negeri Sembilan (kini di Sungai Besi, Selangor).
Aku berjaya lulus untuk naik ke Form 4 di SSSS manakala beberapa
kawanku berjaya ke beberapa sekolah berasrama penuh dan beberapa orang
lagi terpaksa menamatkan persekolah kerana gagal untuk memenuhi kriteria
ke Form 4. Walau bagaimanapun mereka yang gagal itu telah berpeluang
melanjutkan pelajaran dalam jurusan Perguruan sebagai guru pelatih dan
mengikuti kursus perguruan
harian di pusat latihan harian Day Training Centre (DTC) yang
ditubuhkan di salah sebuah bangunan dalam kawasan Sultan Sulaiman
Primary School di Jalan Batas Baharu, Kuala Trengganu.
Antara mereka yang menjadi guru DTC itu ialah Tengku Alias Taib
(seorang penyajak/penyair yang agak terkenal dan berjaya dalam
profesionnya). Yang lain-lain aku dah tak ingat. Yang berjaya ke Form 4 sekolah berasrama penuh pula ialah Abd Razak
Embong (MCKK), Megat Burhanuddin (RMC), Syed Hashim Tuan Long (RMC)
dan beberapa orang lagi.
Besar Saaid bin Talib, Kemaman
*********************************
Tiada ulasan:
Catat Ulasan