Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Tiada apa yang hendakku tinggalkan sebagai warisanku untuk generasimu selain daripada beberapa kisah pengalamanku sepanjang perjalanan hidupku semoga yang baik menjadi tauladan dan yang buruk menjadi sempadan. Kisahku bermula dari zaman seingatku di sebuah kampung pendalaman yang diterokai oleh generasi sebelumku sekitar tahun 30'an. Kampung tersebut dinamakan Kampung Baru (baharu) sebab baru diterokai di zaman itu, dalam Mukim Binjai, Daerah Kemaman, Negeri Terengganu, Negara Tanah Melayu.
Kampung Baru tersebut terletaknya di sebelah kanan hala mudik Jalan Ayer Puteh di sekitar Batu 4 (simpang jalan kecil kereta lembu ke kampung tersebut betul-betul setentang dengan batu tanda "milestone" yang bertanda nombor 4 ketika itu). Sistem ukuran kilometer dan anak-buahnya belum ada (belum dikenali oleh orang kampung ketika itu).
Perihal Jalan Ayer Putih
Jalan utama dari bandar (pekan) Chukai ke Kg Ayer Puteh (di Kemaman) adalah sepanjang 20 batu. Chukai di Batu 0 dan Kg Ayer Puteh di Batu 20. Seingatku bandar Chukai hanya mula ku kenali sekitar tahun 1948 ketika umurku baru 6 tahun; dan Jalan Ayer Puteh sepanjang 20 batu (lebihkurang 32 kilometer) itu adalah jalan tanah merah (laterite road) kecuali dari bandar Chukai ke Batu 2½ yang diminyaktarkan ketika itu. Kenderaan bermotor yang mengguna jalan itu hanyalah bas-bas penumpang yang berulang alik dari Chukai ke Ayer Puteh (2 atau 3 trip sehari) beberapa buah motosikal pegawai Kerajaan (seperti Pegawai Penempatan atau S.O, Penghulu dan Guru-Besar) dan sebuah dua kereta klasik dan jip kepunyaan beberapa orang taukeh lombong dan ladang getah bangsa China dan Eropah. Di Kemaman (seluruh daerah Kemaman) hanya seorang Melayu yang ada kereta; iaitu seorang pemilik tanah bernama Haji Sulong.
Pengguna kebanyakan ialah dari kalangan penarik beca, pembawa kereta lembu dan pemilik basikal. Basikal yang paling tahan lasak untuk membawa barangan hasil tani ke pekan (bandar Chukai) dan ke tempat-tempat jualan lain ialah jenis Raleigh (tinggi), manakala jenis Raleigh Sport hanya dimiliki oleh beberapa orang yang "kaya" tarafnya kerana harganya mahal tetapi kegunaannya terhad kepada kegunaan peribadi (tidak boleh membawa banyak barang).
Mula Pergi Sekolah
Masih ku ingat bagaimana aku 'dikutip' oleh CheGu Dol (guru-besar) untuk pergi ke sekolah.
Pada suatu hari di akhir tahun 1948 (semasa cuti sekolah agaknya) aku dan kawan-kawan (seramai 5 orang kalau tidak silap ingatanku) terdengar enjin motosikal besar masuk kampung. "Brum, bum, buk, buk, buk, dum, dum...", bunyinya. Motorsikal yang dipandu oleh seorang yang berbadan besar (gemuk) pertengah umur menghampiri tempat aku dan kawan-kawan sedang bermain 'katuk stik' di halaman rumahku. "Assalamualaikum, ayah... emak ada di rumah?" orang itu menegur sambil mematikan enjin motosikalnya.
Kami berhenti bermain dan beredar menjauhkan diri dari orang itu kerana rasa takut kepada orang berbadan besar yang belum kami kenal itu. Aku menjawab, "Ayah di telaga, mandi. Emak ada di dapur."
"Makkk... ada orang cari ayah ni...", teriakku sambil menoleh ke arah bahagian dapur rumahku, dari bawah rumah. Rumah kami agak tinggi, di bawahnya lepas kepala.
"Gi lah panggil ayah di telaga... " jawab emak yang menjenguk ikut "pintu maling" (jendela atau tingkap besar). "Oh che' gu... nantilah anak saya gi panggil ayahnya di telaga", sambung ibuku apabila mengenali tetamu yang datang.
"Tak apalah, saya tunggu.", kata orang gemuk itu. "Oi... budak-budak, mari sini dekat che' gu", sambungnya ke arah kami yang sedang memerhatikannya dan motosikalnya dari jauh. Memang besar motosikalnya yang kemudian harinya aku tahu sebagai jenis BSA 500 cc.
Kami menghampiri che' gu tersebut. Walaupun rasa segan, malu dan takut-takut kami juga berminat untuk melihat motosikal besarnya itu dari dekat. "Awak nama apa?", che'gu itu bertanya ke arahku. "Besar", jawabku ringkas.
"Awak?", tanya pula che'gu tu kepada kawan-kawan yang lain. "Saya nama Jakpor, " jawab seorang kawanku yang bernama Jaafar. "Dia tu namanya Seman, dan itu adik dia, Zali dan yang ni Mamud" sambung Jaafar lagi.
"Besar, mari dekat che'gu. Cuba sentuh telinga kiri awak dengan tangan kanan ikut atas kepala. Boleh sampai tak?" orang itu menyuruh aku mencapai telinga kirikun dengan tangan kanan ikut atas kepalaku. Mengikuti sebagaimana diarahkan, aku dapati jari-jari tangan kananku dapat menyentuh telinga kiriku.
"Ahh... awak dah cukup umur untuk masuk sekolah," kata che'gu itu. Dan begitulah seterusnya diarahkan kepada empat kawanku yang lain. Keputusannya hanya aku dan Jaafar sahaja yang "cukup umur". Othman, Razali dan Mahmud belum "cukup umur" untuk bersekolah.
Bila ayahku pulang ke rumah dari mandi di telaga, ayah menjemput che'gu itu naik ke rumah. Mereka dihidangkan air teh o dan biskut tawar oleh ibuku; dan setelah bersembang beberapa ketika che'gu dan ayah turun ke tanah. Ayah memeberitahu aku bahawa aku kena mula bersekolah bulan depan (Januari, 1949), demikian juga kawanku yang bernama Jaafar yang sudah pulang ke rumahnya kerana che'gu tadi kata hendak ke rumahnya selepas ini.
Setelah bersalaman, che'gu besar bernama Cikgu Dol bermotorsikal besar itu pun beredar dengan motosikalnya untuk meneruskan misi "boy-hunt"nya di kampung kami dan di kampung-kampung lain di sekitar bagi memenuhi kerusi-kerusi kosong darjah satu di sekolahnya tahun hadapan. Demikianlah caranya kanak-kanak kampung di zaman itu disekolahkan. Itulah yang berlaku di kampungku dan sekitarnya. Aku tidaklah ketahui bagaimana cara yang digunakan di kampung-kampung lain di negeri kita zaman sebelum merdeka itu. Yang aku pasti ialah untuk mendaftar masuk ke Sekolah Melayu Binjai, surat beranak (sijil kelahiran) tidak diperlukan. Hanya kaedah capai telinga kiri dengan tangan kanan ikut atas kepala yang digunakan untuk menentukan sudah "cukup umur" atau belum untuk seseorang kanak-kanak masuk ke darjah satu. Aku rasa mungkin CikGu Dol sahaja yang mengguna kaedah itu. Entahlah. Tetapi bila aku dalam darjah empat barulah akau diperkenalkan kepada surat beranak. Sebelum itu aku tidak tahupun aku mempunyai sebarang dokumen pendaftaran kelahiran.
Pada umur 7 tahun aku mula ke sekolah; iaitu dalam tahun 1949. Sekolahku di Kg Binjai; iaitu Sekolah Melayu Binjai, Kemaman. Jauhnya dari rumahku lebihkurang sebatu; iaitu jarak dari rumah ke simpang Batu 4 lebihkurang sesuku batu dan dari Batu 4 ke sekolah sejauh lebihkurang tiga suku batu. Mulanya terpaksa berjalan kaki sahaja pergi-balik dan kadang-kadang ayah atau abang hantarkan dengan basikal, membonceng di atas "para" di belakang basikal tua milik ayah atau bertenggek di atas "batang" (bar) antara "sela" (seat) dan "hendal" (handle) basikal yang dikayuh oleh ayah atau abang ketika itu.
Pada suatu hari dalam pertengahan tahun 1952 (penggal 2 persekolahan, rasanya) Cikgu Mohd Zain (gurubesar aku yang ketiga selepas Cikgu Dol dan Cikgu Mohd Nor) bertanya kepada murid-murid darjah tiga dan darjah 4 tentang surat beranak. Sesiapa yang ada surat beranak minta bawa kepadanya untuk mendaftar masuk peperiksaan (ujian) bagi pemilihan masuk ke sekolah Inggeris pada tahun hadapan (1953).
Surat Beranak Baru Main Peranan
Dalam negeri Terengganu ketika itu hanya sebuah sekolah menengah sahaja yang ada di seluruh negeri; iaitu Sultan Sulaiman Secondary School, Kuala Terengganu. Sekolah Melayu tiada peringkat menengah. Sekolah-sekolah Melayu di bandar-bandar, kelas atau darjah yang paling tinggi ialah darjah tujuh. Tamat darjah tujuh boleh jadi guru pelatih.
Manakala di sekolah-sekolah Melayu di luar bandar, seperti sekolahku (Sekolah Melayu Binjai) hanya Darjah 5 yang paling tinggi. Tamat darjah 5, tamatlah sekolah kecuali dapat dan mahu sambung belajar ke Darjah 6 hingg 7 di Sekolah Melayu Chukai di bandar.
Pada tahun 1952 adalah tahun mula-mula dibuka peluang kepada murid-murid di Sekolah Melayu Binjai untuk melanjutkan pelajaran ke Sekolah Inggeris dan seterusnya ke sekolah menengah. Malangnya orang-orang kampung tidak dididik dengan pengetahun betapa pentingnya surat keterangan beranak (sijil kelahiran) sehingga kebanyakan mereka tidak menyimpan dokumen tersebut dengan selamat. Dengan sebab itu walaupun terdapat murid-murid sebayaku yang lebih pintar dariku (selalu dapat nombor 1 dan 2 dalam kelas, kerana aku tidak pernah dapat nombor 1 atau 2; hanya setakat nombor 3, 4 dan 5 sejak darjah 1 hingga darjah 4), mereka tidak mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi disebabkan ketiadaan surat beranak. Aku bernasib baik kerana ayah ada menyimpannya walaupun dah hampir reput, tetapi masih boleh diguna.
Dalam surat beranakku yang diserahkan kepada Gurubesar ketika itu terdapat bahawa nama sebenarku yang didaftarkan ialah Saaid, bukan Besar. Tarikh lahirku pula ialah pada 28hb Mei 2062. Tahun tu tahun zaman Jepun; dan telah diterjemahkan sebagai tahun 1942. Maka kebetulanlah umurku tepat 7 tahun semasa mula-mula bersekolah dalam tahun 1949 dulu tu walaupun kaedah "cukup umur" yang digunakan oleh Cikgu Dol agak primitif.
Setalah menduduki Ujian untuk memasuki sekolah Inggeris pada penggal ketiga tahun 1952 itu aku telah diberitahu kemudiannya bahawa aku layak untuk masuk sekolah Inggeris Kerajaan yang hanya satu itu di negeri Terengganu, iaitu Sultan Sulaiman Primary School, Kuala Terengganu. Lalu dalam bulan Januari tahun berikutnya (1953) aku diterima masuk ke kelas peralihan SMC1 (Special Malay Class 1) di sekolah tersebut yang media pembelajarannaya 100% bahasa Inggeris (kecuali matapelajaran Bahasa Melayu, Sastera Melayu dan Ugama Islam). SMC1 adalah kelas peralihan yang setara dengan Std.4 Primary. Tahun berikutnya (1954) aku naik ke SMC2 dan seterusnya dalam tahun 1955 ke Std. Six Primary.
Pada tahun itu ada peperiksaan penilaian Std. Six untuk ke sekolah menengah. Lulus biasa dapat melanjutkan pelajaran ke Sultan Sulaiman Secondary School. Yang lulus cemerlang dapat masuk ke sekolah berasrama penuh; Malay College Kuala Kangsar bagi lelaki dan Malay Girls' College Seremban, Negeri Sembilan untuk murid perempuan.
Sekian dulu setakat ini, wassalam.
Abukabir