11 Mei 2016

Pengalaman di SSS 1953-1960

Salam untuk semua.

Dalam tahun 1953 aku telah berjaya memasuki Sekolah Inggeris di Kuala Terengganu, iaitu Sultan Sulaiman English School (SSES), satu-satunya sekolah Inggeris Kerajaan di Negeri Terengganu (asalnya: Trengganu) ketika itu. SSES terletaknya di hujung Jalan Cherong Lanjut arah ke Kampung Pengadang Akar di sebelah Selatan, dibatasi Jalan Batas Baharu (sekarang Jalan Engku Sar) di sebelah utara. Manakala bahagian hadapan dan jalan masuk utama ke perkarangan sekolah (sebelah timur) ialah Jalan Gong Wan Abas (sekarang Jalan Sultan Omar). Kini kawasan tersebut ditempatkan Sekolah Rendah Sultan Sulaiman 1 dan Sekolah Rendah Sultan Sulaiman 2.

Sebuah lagi sekolah Inggeris ialah The Grammar English School (or was it The English Grammar School?), Kuala Terengganu, di Jalan Ayer Jerneh (atau Jalan Cherong Lanjut?), sebelah jalan ke kompleks pejabat SUK lama atas bukit. Sekolah tersebut adalah satu-satunya sekolah Inggeris swasta pertama di Trengganu ketika itu, dan dimiliki oleh Mr P.C.Isaacs (kemudiannya Dato’ P.C.Isaacs), seorang hartawan/dermawan bekas guru keturunan India, yang kemudiannya diwarisi oleh anaknya.

Urusan kemasukanku ke SSES pada mulanya menghadapi beberapa halangan.  Pertama aku tidak mendapat biasiswa Persekutuan (RM45 sebulan), tetapi hanya diberi biasiswa Negeri sebanyak RM20.00 sebulan. Keduanya aku tidak mendapat tempat di asrama sekolah; lalu terpaksa menumpang di rumah Cikgu Ali ‘nazir’ (kemudiannya Haji Ali dan Dato’ Perwira Negara) di belakang bangunan SSES.

Secara rasminya SSES telah ditubuhkan pada tahun 1925; tetapi kelas pertamanya telah dibuka sejak tahun 1920 lagi dengan “English” sebagai bahasa pengantar. Nama awalnya ialah Government English School.  Pada tahun 1938 barulah namanya ditukar kepada Sultan Sulaiman English School.  Ketika aku mulai bersekolah di SSES, aku dapati keseluruhan bangunannya adalah bangunan sementara yang dibina daripada struktur kayu, bumbung atap nipah dan dinding kajang (daripada daun mengkuang); dan digelar “sekolah atap” ketika itu. Keadaan demikian adalah disebabkan bangunan sekolah asal telah terbakar dua tahun sebelum itu (12 Julai 1951).  Sekolah atap ini kekal digunakan sehingga sekitar tahun 1957 apabila bangunan baru 3 tingkat mula dibina secara berperingkat untuk menggantikan bangunan sementara tersebut.

Kemasukan murid ke SSES melalui dua cara.  Cara pertama ialah menerima murid-murid masuk ke Standard 1 ketika umur masuk 7 tahun, dan cara kedua ialah menerima kemasukan murid-murid ke Special Malay Class (SMC).  SMC itu sebenarnya kelas peralihan murid-murid yang sudah tamat Darjah 3 atau Darjah 4 di sekolah-sekolah Melayu seluruh negeri Terengganu. Murid-murid dari sekolah-sekolah Melayu itu perlu melalu satu ujian objektif dalam mata-mata pelajaran Ilmu Hisab, ujian Pengetahuan Am dan ujian IQ (kecerdasan).  Jika melepasi ujian tersebut mereka akan diterima masuk ke SMC1 di SSES.  Setelah belajar di SMC1 dan SMC2 (selama 2 tahun) murid-murid tersebut akan dinaikan ke Standard 6, bercampur dengan murid-murid lain yang naik ke Standar 6 melalui cara kemasukan yang pertama (dari Standard 1).  Kelas-kelas SMC ini dikhususkan untuk murid-murid Melayu sahaja, manakala kemasukan ke Standard 1 terbuka kepada semua kaum.

Guru-guru yang yang mengajar kelasku di sekolah atap tersebut (dari SMC 1 hingga Std 6) ialah Mr. Abu Bakar (Mr. Baker), Mr. Yang Rashidi, Mr. Lau Kong Beng dan Mr. Rahman (Mr. Ramon ‘Boat’, kemudiannya Dato’ Abdul Rahman Taib, TCS).

Sistem pendidikan di SSES berpandukan kepada acuan system pendidikan dari peringkat rendah (primary level) bermula dari murid Standard 1 berumur 7 tahun hingga ke Standard 9.  Murid-murid dinaikkan ke peringkat (tahap) berikutnya melalui peperiksaan tahunan di akhir setiap tahun.  Hanya murid-murid yang mencapai tahap markah lulus dinaikkan ke tahap berikutnya; yang tidak lulus akan dikekalkan di darjah yang sama untuk setahun lagi.  Manakala yang lulus cemerlang mungkin dinaikkan ke tahap yang lebih tinggi melangkau satu darjah, biasa dari Standard 3 melangkau ke Standard 5 atau dari Standard 4 melangkau ke Standard 6. Mana-mana murid yang gagal 2 tahun berturut-turut mungkin akan ditamatkan pengajiannya setakat Standard di mana dia gagal.  Jika ibubapa ada wang mungkin akan dimasukkan ke sekolah swasta (GES) untuk meneruskan pengajiannya.

Peperiksaan akhir tahun di tahap Standard 7 akan dianjurkan oleh pihak Jabatan Pelajaran bagi pihak Cambridge Examination Syndicate, England yang menyediakan soalan-soalan peperiksaan dalam semua subjek bagi mendapat sijil peperiksaan yang dipanggil Junior School Certificate (JSC). Jika lulus, akan diberi peluang meneruskan pelajaran hingga ke Standard 9. Peperiksaan akhir tahun ketika dalam Standard 9 ialah peperiksaan Overseas Cambridge School Certificate (OCSC) yang, jika di England, sama tarafnya dengan ‘O’ Level.  Sijil-sijil ini mendapat pengiktirafan di England dan di semua negara Komanwel dan negara-negara jajahan British ketika itu.

Subjek-subjek asas bagi JSC dan OCSC ketika itu ialah English (termasuk Oral English), Mathematics, Science, Geography, History, Literature, Drawing and Bahasa Melayu. Dengan JSC seseorang murid itu sudah berpeluang untuk masuk ke Maktab Perguruan atau memohon jawatan kerani dalam jabatan kerajaan; iaitu ketika berumur antara 15 hingga 16 tahun.

Dengan sijil OCSC Grade 1 atau 2 sudah memadai untuk seseorang itu berpeluang memasuki matrikulasi untuk kursus-kursus professional di universiti-universiti di Great Britain (England, Scotland, Ireland dan Wales) dan di negara-negara seperti Canada, Australia dan New Zealand.  Sijil OCSC itu juga digunakan untuk kelayakan masuk ke Universiti Malaya (di Singapura ketika itu).

Ujian besar pertama di SSES ialah peperiksaan akhir tahun Std 6 (Standard Six) yang dianjurkan serentak di seluruh Tanah Melayu oleh Jawatankuasa Peperiksaan, Jabatan Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu ketika itu.  Kalau lulus peperiksaan ini akan dinaikkan ke Form 1 (Form One) sekolah menengah yang mula diperkenalkan mulai 1956. Murid-murid yang gagal akan diberhentikan sekolah, walaupun pada usia antara 13 dan 14 tahun. 

Hanya beberapa tahun kemudian pihak Kerajaan mengadakan Sekolah Menengah Lanjutan untuk menampung murid-murid yang gagal naik ke Form 1 (Tingkatan 1) sekolah biasa Kerajaan. Sekolah Menengah Lanjutan inilah kemudiannya diubahasuai menjadi Sekolah Menengah Vokasional. Pada awalnya Sekolah Menengah Lanjutan ini hanya setakat Tingkatan 3 sahaja, dan apabila tamat Tingkatan 3 murid-murid terpaksa menamatkan persekolahan mereka setakat itu. Sijil Tingkatan 3 Sekolah Menengah Lanjutan ini tiada nilai pengiktirafan yang jelas oleh pihak Kerajaan.

Mulai tahun 1956 juga SSES di pecahkan kepada Sultan Sulaiman Primary School (SSPS) dan Sultan Sulaiman Secondary School (SSSS).  Bangunan SSSS yang baru siap dibina di Kuala Ibai, Kuala Terengganu telah mula digunakan pada tahun 1956 dan ‘batch’ aku adalah ‘batch’ Form 1 pertama yang berpindahkan ke bangunan baru tersebut.  Beberapa orang murid yang telah lulus cemerlang dalam peperiksaan Standar 6 tahun 1955 SSES telah berjaya masuka ke sekolah-sekolah menengah berasrama penuh, iaitu The Malay College Kuala Kangsar (MCKK) dan The Malay Girls College (MGC, yang kemudiannya dinamakan Sekolah Tun Fatimah) di Melaka.  Setakat yang aku ingat, mereka ialah Fauziah Ismail dan Kamariah Othman ke MGC, manakala Engku Mohd Anuar dan Wan Mahmud Othman ke MCKK.


FORM 1B SSSS 1956 (B)

FORM 3A SSSS 1958 (B)

SSSS terletaknya di Kuala Ibai, lebih kurang empat batu dari Kuala Trengganu.  Aku berulang alik ke sekolah dengan sebuah basikal tua yang dipinjamkan oleh keluarga angkatku di Cherong Lanjut.  Aku belajar di SSSS selama 5 tahun, iaitu dari tahun 1956 hingga tahun 1960.  Aktiviti kokorikulum yang pernah aku sertai ialah Photography Club, Gymnastic Club, Red Cross Society dan mewakili Rumah Gajah dalam Rugby.

Peperiksaan akhir tahun 1958 adalah peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE) yang menggantikan JSC, dan dihadapi setelah habis belajar dalam Form 3.  Sekali lagi murid-murid yang lulus sahaja dapat naik ke Form 4; yang gagal terpaksa berhenti sekolah dan yang cemerlang ke Form 4 di sekolah-sekolah berasrama penuh.  Pada ketika itu hanya ada beberapa sekolah berasrama penuh Kerajaan, iatu Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR) Seremban (ditubuhkan di Johor Bahru pada 1956), Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh (ditubuhkan pada awal 1957), dan Sekolah Tengku Kursiah Seremban.  Selain itu murid lelaki juga diterima masuk ke “Boys Wing (Company)”, Royal Military College (RMC) Port Dickson (bermula tahun 1952), Negeri Sembilan (kini di Sungai Besi, Selangor).

Aku berjaya lulus untuk naik ke Form 4 di SSSS manakala beberapa kawanku berjaya ke beberapa sekolah berasrama penuh dan beberapa orang lagi terpaksa menamatkan persekolah kerana gagal untuk memenuhi kriteria ke Form 4.  Walau bagaimanapun mereka yang gagal itu telah berpeluang melanjutkan pelajaran dalam jurusan Perguruan sebagai guru pelatih dan mengikuti kursus perguruan harian di pusat latihan harian Day Training Centre (DTC) yang ditubuhkan di salah sebuah bangunan dalam kawasan Sultan Sulaiman Primary School di Jalan Batas Baharu, Kuala Trengganu.

Antara mereka yang menjadi guru DTC itu ialah Tengku Alias Taib (seorang penyajak/penyair yang agak terkenal dan berjaya dalam profesionnya).  Yang lain-lain aku dah tak ingat. Yang berjaya ke Form 4 sekolah berasrama penuh pula ialah Abd Razak Embong (MCKK), Megat Burhanuddin (RMC), Syed Hashim Tuan Long (RMC) dan beberapa orang lagi.

Setakat ni dulu, wassalam.
Besar Saaid bin Talib, Kemaman
*********************************

Reminisces of Ex-Sulaimanian – 54 Years Ago (1956) - Hassan Abdul Karim

Reminisces of Ex-Sulaimanian – 54 Years Ago (1956)

SSS 1953-1960

REMINDER RE SSS 1953-1960 REUNION GATHERING ON 11 OCTOBER 2014
(as posted in The Sulaimainan blog on 23/09/2014: Reunion SSS 1953-1960 Pada 23/09/2014  )  


Announcement:

23/09/2014 (REMINDER)
Dear Classmates,
Assalamualaikum & Hello,
REUNION SSS 1953 – 1960
Date: 11 October 2014 (Saturday)
Time: 11am – 2pm
Venue: PRIMULA BEACH HOTEL,  KUALA TERENGGANU
————————-
We have to confirm the final NUMBER OF ATTENDEES to the Primula “Sales Dept” very soon. As such all those who had previously indicated/affirmed their wish to join the “REUNION” will please REAFFIRM their attendance indicating clearly whether ALONE or WITH COMPANION(S). If with companion(s), how many?
Companions may include spouses, family members, friends, chauffeurs, nursemaids, assistants, etc; all of whom will be included as “members” on equal basis*.
Thank you.
Nik Aziz Kamil Tel 012 3293077
Besar Saaid Talib Tel 013 9212393
Rahimah Musa Tel 013 9413041
Long Rahman Tel 019 9853000
and Majid Ibrahim Tel 013 3604849
*P/S: “on equal basis” means RM65.00 per head as charged by Primula. We will have a collection box placed at the entrance of our Meeting Room.”

PILIHANRAYA NEGERI SARAWAK

Keputusan PRN Sarawak 07 May 2016 adalah seperti berikut:

BN   = 72/82
DAP =  7/82
PKR =  3/82

Well done BN.

20 Ogo 2010

Lebih Setahun Tidak Berkarya

Betapa cepatnya masa berlalu. Sejak lebihkurang setahun dah tidak mengunjungi blog ini. Maklumlah, usia dah lanjut. Tidak terkejar ...

3 Okt 2007

SALASILAH KETURUNAN & SILATURAHIM

Salasilah keturunan seseorang itu amat penting diketahui dalam masyarakat manusia bertamadun. Menjejaki asal usul keturunan seseorang boleh memberi manfaat kepada hubungan silaturahim kaum kerabat; dan merapat dan mengekalkan hubungan silaturahim sangatlah dituntut dalam Islam.

Firman Allah:
Allah berfirman: "Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut namaNya, serta peliharalah hubungan silaturrahim kaum kerabat." – (Surah An-Nisaa: 1)

Sabda Nabi:
Dalam sebuah hadith Qudsi pula Allah berfirman: "Barang siapa yang memutuskan tali kekeluargaan, akan aku putuskan hubunganKu dengan dia. Dan barangsiapa menyambungkan tali kekeluargaan, Akupun akan mengukuhkan tali kekeluargaannya nanti."

Hadith: Lebih daripada itu diriwayatkan dalam banyak hadis bahawa amalan silaturrahim akan memakmurkan rumah dan menambah usia walaupun para pelakunya bukan orang baik-baik. Amalan silaturrahim ini akan membersihkan segala amalan kita yang lain serta melipatgandakan kekayaan dan menolak bala.
Hadith dari Jubair bin Mut'im r.a: Nabi s.a.w bersabda: Tidak akan masuk Syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan (Silaturahim).

19 Jun 2007

Warisanku Untuk Generasimu

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tiada apa yang hendakku tinggalkan sebagai warisanku untuk generasimu selain daripada beberapa kisah pengalamanku sepanjang perjalanan hidupku semoga yang baik menjadi tauladan dan yang buruk menjadi sempadan. Kisahku bermula dari zaman seingatku di sebuah kampung pendalaman yang diterokai oleh generasi sebelumku sekitar tahun 30'an. Kampung tersebut dinamakan Kampung Baru (baharu) sebab baru diterokai di zaman itu, dalam Mukim Binjai, Daerah Kemaman, Negeri Terengganu, Negara Tanah Melayu.

Kampung Baru tersebut terletaknya di sebelah kanan hala mudik Jalan Ayer Puteh di sekitar Batu 4 (simpang jalan kecil kereta lembu ke kampung tersebut betul-betul setentang dengan batu tanda "milestone" yang bertanda nombor 4 ketika itu). Sistem ukuran kilometer dan anak-buahnya belum ada (belum dikenali oleh orang kampung ketika itu).

Perihal Jalan Ayer Putih

Jalan utama dari bandar (pekan) Chukai ke Kg Ayer Puteh (di Kemaman) adalah sepanjang 20 batu. Chukai di Batu 0 dan Kg Ayer Puteh di Batu 20. Seingatku bandar Chukai hanya mula ku kenali sekitar tahun 1948 ketika umurku baru 6 tahun; dan Jalan Ayer Puteh sepanjang 20 batu (lebihkurang 32 kilometer) itu adalah jalan tanah merah (laterite road) kecuali dari bandar Chukai ke Batu 2½ yang diminyaktarkan ketika itu. Kenderaan bermotor yang mengguna jalan itu hanyalah bas-bas penumpang yang berulang alik dari Chukai ke Ayer Puteh (2 atau 3 trip sehari) beberapa buah motosikal pegawai Kerajaan (seperti Pegawai Penempatan atau S.O, Penghulu dan Guru-Besar) dan sebuah dua kereta klasik dan jip kepunyaan beberapa orang taukeh lombong dan ladang getah bangsa China dan Eropah. Di Kemaman (seluruh daerah Kemaman) hanya seorang Melayu yang ada kereta; iaitu seorang pemilik tanah bernama Haji Sulong.

Pengguna kebanyakan ialah dari kalangan penarik beca, pembawa kereta lembu dan pemilik basikal. Basikal yang paling tahan lasak untuk membawa barangan hasil tani ke pekan (bandar Chukai) dan ke tempat-tempat jualan lain ialah jenis Raleigh (tinggi), manakala jenis Raleigh Sport hanya dimiliki oleh beberapa orang yang "kaya" tarafnya kerana harganya mahal tetapi kegunaannya terhad kepada kegunaan peribadi (tidak boleh membawa banyak barang).

Mula Pergi Sekolah

Masih ku ingat bagaimana aku 'dikutip' oleh CheGu Dol (guru-besar) untuk pergi ke sekolah.

Pada suatu hari di akhir tahun 1948 (semasa cuti sekolah agaknya) aku dan kawan-kawan (seramai 5 orang kalau tidak silap ingatanku) terdengar enjin motosikal besar masuk kampung. "Brum, bum, buk, buk, buk, dum, dum...", bunyinya. Motorsikal yang dipandu oleh seorang yang berbadan besar (gemuk) pertengah umur menghampiri tempat aku dan kawan-kawan sedang bermain 'katuk stik' di halaman rumahku. "Assalamualaikum, ayah... emak ada di rumah?" orang itu menegur sambil mematikan enjin motosikalnya.

Kami berhenti bermain dan beredar menjauhkan diri dari orang itu kerana rasa takut kepada orang berbadan besar yang belum kami kenal itu. Aku menjawab, "Ayah di telaga, mandi. Emak ada di dapur."

"Makkk... ada orang cari ayah ni...", teriakku sambil menoleh ke arah bahagian dapur rumahku, dari bawah rumah. Rumah kami agak tinggi, di bawahnya lepas kepala.

"Gi lah panggil ayah di telaga... " jawab emak yang menjenguk ikut "pintu maling" (jendela atau tingkap besar). "Oh che' gu... nantilah anak saya gi panggil ayahnya di telaga", sambung ibuku apabila mengenali tetamu yang datang.

"Tak apalah, saya tunggu.", kata orang gemuk itu. "Oi... budak-budak, mari sini dekat che' gu", sambungnya ke arah kami yang sedang memerhatikannya dan motosikalnya dari jauh. Memang besar motosikalnya yang kemudian harinya aku tahu sebagai jenis BSA 500 cc.

Kami menghampiri che' gu tersebut. Walaupun rasa segan, malu dan takut-takut kami juga berminat untuk melihat motosikal besarnya itu dari dekat. "Awak nama apa?", che'gu itu bertanya ke arahku. "Besar", jawabku ringkas.

"Awak?", tanya pula che'gu tu kepada kawan-kawan yang lain. "Saya nama Jakpor, " jawab seorang kawanku yang bernama Jaafar. "Dia tu namanya Seman, dan itu adik dia, Zali dan yang ni Mamud" sambung Jaafar lagi.

"Besar, mari dekat che'gu. Cuba sentuh telinga kiri awak dengan tangan kanan ikut atas kepala. Boleh sampai tak?" orang itu menyuruh aku mencapai telinga kirikun dengan tangan kanan ikut atas kepalaku. Mengikuti sebagaimana diarahkan, aku dapati jari-jari tangan kananku dapat menyentuh telinga kiriku.

"Ahh... awak dah cukup umur untuk masuk sekolah," kata che'gu itu. Dan begitulah seterusnya diarahkan kepada empat kawanku yang lain. Keputusannya hanya aku dan Jaafar sahaja yang "cukup umur". Othman, Razali dan Mahmud belum "cukup umur" untuk bersekolah.

Bila ayahku pulang ke rumah dari mandi di telaga, ayah menjemput che'gu itu naik ke rumah. Mereka dihidangkan air teh o dan biskut tawar oleh ibuku; dan setelah bersembang beberapa ketika che'gu dan ayah turun ke tanah. Ayah memeberitahu aku bahawa aku kena mula bersekolah bulan depan (Januari, 1949), demikian juga kawanku yang bernama Jaafar yang sudah pulang ke rumahnya kerana che'gu tadi kata hendak ke rumahnya selepas ini.

Setelah bersalaman, che'gu besar bernama Cikgu Dol bermotorsikal besar itu pun beredar dengan motosikalnya untuk meneruskan misi "boy-hunt"nya di kampung kami dan di kampung-kampung lain di sekitar bagi memenuhi kerusi-kerusi kosong darjah satu di sekolahnya tahun hadapan. Demikianlah caranya kanak-kanak kampung di zaman itu disekolahkan. Itulah yang berlaku di kampungku dan sekitarnya. Aku tidaklah ketahui bagaimana cara yang digunakan di kampung-kampung lain di negeri kita zaman sebelum merdeka itu. Yang aku pasti ialah untuk mendaftar masuk ke Sekolah Melayu Binjai, surat beranak (sijil kelahiran) tidak diperlukan. Hanya kaedah capai telinga kiri dengan tangan kanan ikut atas kepala yang digunakan untuk menentukan sudah "cukup umur" atau belum untuk seseorang kanak-kanak masuk ke darjah satu. Aku rasa mungkin CikGu Dol sahaja yang mengguna kaedah itu. Entahlah. Tetapi bila aku dalam darjah empat barulah akau diperkenalkan kepada surat beranak. Sebelum itu aku tidak tahupun aku mempunyai sebarang dokumen pendaftaran kelahiran.

Pada umur 7 tahun aku mula ke sekolah; iaitu dalam tahun 1949. Sekolahku di Kg Binjai; iaitu Sekolah Melayu Binjai, Kemaman. Jauhnya dari rumahku lebihkurang sebatu; iaitu jarak dari rumah ke simpang Batu 4 lebihkurang sesuku batu dan dari Batu 4 ke sekolah sejauh lebihkurang tiga suku batu. Mulanya terpaksa berjalan kaki sahaja pergi-balik dan kadang-kadang ayah atau abang hantarkan dengan basikal, membonceng di atas "para" di belakang basikal tua milik ayah atau bertenggek di atas "batang" (bar) antara "sela" (seat) dan "hendal" (handle) basikal yang dikayuh oleh ayah atau abang ketika itu.

Pada suatu hari dalam pertengahan tahun 1952 (penggal 2 persekolahan, rasanya) Cikgu Mohd Zain (gurubesar aku yang ketiga selepas Cikgu Dol dan Cikgu Mohd Nor) bertanya kepada murid-murid darjah tiga dan darjah 4 tentang surat beranak. Sesiapa yang ada surat beranak minta bawa kepadanya untuk mendaftar masuk peperiksaan (ujian) bagi pemilihan masuk ke sekolah Inggeris pada tahun hadapan (1953).

Surat Beranak Baru Main Peranan

Dalam negeri Terengganu ketika itu hanya sebuah sekolah menengah sahaja yang ada di seluruh negeri; iaitu Sultan Sulaiman Secondary School, Kuala Terengganu. Sekolah Melayu tiada peringkat menengah. Sekolah-sekolah Melayu di bandar-bandar, kelas atau darjah yang paling tinggi ialah darjah tujuh. Tamat darjah tujuh boleh jadi guru pelatih.

Manakala di sekolah-sekolah Melayu di luar bandar, seperti sekolahku (Sekolah Melayu Binjai) hanya Darjah 5 yang paling tinggi. Tamat darjah 5, tamatlah sekolah kecuali dapat dan mahu sambung belajar ke Darjah 6 hingg 7 di Sekolah Melayu Chukai di bandar.

Pada tahun 1952 adalah tahun mula-mula dibuka peluang kepada murid-murid di Sekolah Melayu Binjai untuk melanjutkan pelajaran ke Sekolah Inggeris dan seterusnya ke sekolah menengah. Malangnya orang-orang kampung tidak dididik dengan pengetahun betapa pentingnya surat keterangan beranak (sijil kelahiran) sehingga kebanyakan mereka tidak menyimpan dokumen tersebut dengan selamat. Dengan sebab itu walaupun terdapat murid-murid sebayaku yang lebih pintar dariku (selalu dapat nombor 1 dan 2 dalam kelas, kerana aku tidak pernah dapat nombor 1 atau 2; hanya setakat nombor 3, 4 dan 5 sejak darjah 1 hingga darjah 4), mereka tidak mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi disebabkan ketiadaan surat beranak. Aku bernasib baik kerana ayah ada menyimpannya walaupun dah hampir reput, tetapi masih boleh diguna.

Dalam surat beranakku yang diserahkan kepada Gurubesar ketika itu terdapat bahawa nama sebenarku yang didaftarkan ialah Saaid, bukan Besar. Tarikh lahirku pula ialah pada 28hb Mei 2062. Tahun tu tahun zaman Jepun; dan telah diterjemahkan sebagai tahun 1942. Maka kebetulanlah umurku tepat 7 tahun semasa mula-mula bersekolah dalam tahun 1949 dulu tu walaupun kaedah "cukup umur" yang digunakan oleh Cikgu Dol agak primitif.

Setalah menduduki Ujian untuk memasuki sekolah Inggeris pada penggal ketiga tahun 1952 itu aku telah diberitahu kemudiannya bahawa aku layak untuk masuk sekolah Inggeris Kerajaan yang hanya satu itu di negeri Terengganu, iaitu Sultan Sulaiman Primary School, Kuala Terengganu. Lalu dalam bulan Januari tahun berikutnya (1953) aku diterima masuk ke kelas peralihan SMC1 (Special Malay Class 1) di sekolah tersebut yang media pembelajarannaya 100% bahasa Inggeris (kecuali matapelajaran Bahasa Melayu, Sastera Melayu dan Ugama Islam). SMC1 adalah kelas peralihan yang setara dengan Std.4 Primary. Tahun berikutnya (1954) aku naik ke SMC2 dan seterusnya dalam tahun 1955 ke Std. Six Primary.

Pada tahun itu ada peperiksaan penilaian Std. Six untuk ke sekolah menengah. Lulus biasa dapat melanjutkan pelajaran ke Sultan Sulaiman Secondary School. Yang lulus cemerlang dapat masuk ke sekolah berasrama penuh; Malay College Kuala Kangsar bagi lelaki dan Malay Girls' College Seremban, Negeri Sembilan untuk murid perempuan.

Sekian dulu setakat ini, wassalam.

Abukabir